Wednesday, 5 September 2012

Pulau Aur, Tioman ghaib ketika siang

Pulau Aur, Tioman ghaib ketika siang

Oleh Nuri Angkasa























INI cerita seorang teman pemancing lasak yang sering ke perairan Mersing bersama sekumpulan lapan pemancing dari Kota Tinggi dan Kluang, Johor...
INI cerita seorang teman pemancing lasak yang sering ke perairan Mersing bersama sekumpulan lapan pemancing dari Kota Tinggi dan Kluang, Johor. Mat Salleh bercerita kepada penulis mengenai Pulau Aur yang lesap ketika satu ekspedisi tiga hari dua malam beberapa tahun lalu. Kisah itu masih menjadi satu misteri yang tidak berjawab hingga hari ini.

Menggunakan khidmat tekong lama yang penuh dengan pengalaman, rombongan lapan orang yang diketuai oleh Mat Salleh sendiri bergegas meninggalkan jeti Mersing seawal subuh hari berkenaan.

Destinasi utama kali ini ialah sekitar perairan Pulau Aur yang ketika itu musim spesies ikan bergigi tajam (tenggiri). Jarak perjalanan agak jauh. Justeru, Mat Salleh dan rakan menyambung tidur yang terusik beberapa jam ketika berada di jeti Mersing.

Beliau bersama tekong berbual panjang, cerita Mat Salleh lagi sambil menghirup teh tarik di warung.

Wajah Pulau Aur di sebelah timur sudah berbalam dalam samar-samar cahaya matahari pagi yang bakal berbakti sepanjang siang. Tiba-tiba pulau itu hilang daripada pandangan tetapi pada sonar dan GPS masih jelas lokasinya.

Menggunakan pengalaman tekong yang mahu dikenali sebagai Adi Komando, mereka masih juga gagal mencari pulau berkenaan walaupun waktu sudah jam 11 pagi. Pulau Dayang turut hilang. Namun Adi Komando tidak mahu mendedahkan kehilangan berkenaan demi mengawal keadaan supaya tidak panik. Cuma Mat Salleh dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada ekspedisi kali itu.

Rakan pancing lain yang sudah mula sedar daripada tidur yang panjang. Masing-masing mula membuat persediaan untuk melakukan aktiviti memancing dengan cara masing-masing. Sementara itu, tekong Adi Komando terus mencari jejak pulau yang masih belum kelihatan.

Alat pengesan GPS dan sonar sudah tepat menunjuk arah tetapi wajah Pulau Aur tidak kelihatan, cerita Mat Salleh lagi. Lantas tekong memutuskan pendirian untuk berpindah ke Pulau Pemanggil saja kerana daripada firasatnya sendiri ada yang melarangnya memancing di kawasan berkenaan.

Lima jam berada di sekitar Pulau Pemanggil, sebuah bot nelayan bergegas mendapatkan bot tekong Adi Komando sambil berteriak kuat.

“Pulau Aur dilanda ribut besar dengan tiba-tiba!”
Semua berpandangan satu sama lain. Sambil itu, tekong menarik nafas panjang lalu beredar menjerang air untuk membasahkan tekak dengan kopi panas. Mat Salleh menganggap kegagalannya untuk mengesan pulau adalah satu hikmah di sebalik satu misteri yang tidak berjawab hingga hari ini.

Misteri Pulau Aur yang hilang tidak habis begitu saja. Malam itu ketika melakukan aktiviti memancing di perairan Pulau Pemanggil, mereka dikejutkan dengan kehadiran beberapa ekor ikan besar yang timbul tidak jauh dari bot. Ini berlaku beberapa kali. Tekong Adi Komando digamit rasa kurang selesa sekali lagi. Ikan tambah rancak memburu umpan jenis spesies ikan terbaik yang menghuni lubuk berkenaan iaitu ikan kerapu dan ebek

Mat Salleh turut merasakan kelainan apabila beberapa kali ikan besar muncul. Lalu dia memutuskan pendirian untuk berpindah ke Pulau Tioman. Tekong Adi Komando bersetuju lalu bot bergerak laju ke arah Pulau Tioman. Namun anehnya, peristiwa seperti mencari pulau Aur yang hilang daripada pandangan berlaku lagi ketika mereka mencari Pulau Tioman yang sudah sinonim dengan dirinya.

“Petanda kurang baik lagi. Kita balik saja,” kata Mat Salleh memutuskan tekad dengan tegas dan tidak dibantah oleh rakan pancing yang lain.

Ketika mereka tiba di jeti Mersing, gelombang besar dan ribut serta angin kencang datang bertunda rapat.

Mereka sekali lagi berpandangan menarik nafas panjang.


Sumber Dipetik Dari: http://joran.bharian.com.my/

No comments: